Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Kawasan pesisir, pedalaman berisiko alami gangguan air, bantuan digerakkan
  • TEMPATAN

Kawasan pesisir, pedalaman berisiko alami gangguan air, bantuan digerakkan

Utusan Sarawak 6 hours ago
DATUK Amar Douglas Uggah Embas ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka anjuran Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi di Taman Duranda, Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA: Kawasan pesisir dan pedalaman di Sarawak berdepan risiko gangguan bekalan air susulan cuaca panas dan kering berterusan, dengan langkah awal termasuk penghantaran air minuman serta penggerakan lori tangki telah disiap siaga, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat kini digerakkan bagi membekalkan air minuman kepada penduduk terjejas, sementara JBALB akan menggerakkan lori tangki ke kawasan yang mengalami kekurangan bekalan air.

“Strategi semasa adalah memberi bantuan segera termasuk penghantaran air minuman, diikuti pengagihan menggunakan lori tangki air ke kawasan terlibat,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC), menjelaskan bahawa keadaan cuaca panas turut menyumbang kepada kejadian kebakaran terbuka termasuk di kawasan tanah gambut yang memerlukan tindakan segera bagi mengelakkan ia merebak.

“Antara kawasan terjejas termasuk Kemuyang di Sibu, Penasuk di Mukah serta Jepak di Bintulu, manakala kebakaran di Sebuyau telah berjaya dipadamkan.

DATUK Amar Douglas Uggah Embas bergambar bersama Dato Sri Julaihi Narawi dan tetamu kehormat yang lain.

“Operasi ‘water bombing’ sedang dilaksanakan oleh pihak bomba khususnya di kawasan tanah gambut yang sukar dikawal kerana api boleh merebak di bawah permukaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka anjuran Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi di Taman Duranda, di sini, hari ini.

Tambah beliau, pemantauan turut dipertingkatkan dengan penggunaan dron oleh Jabatan Alam Sekitar (DOE) dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) bagi mengesan tanda awal kebakaran.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar mengelakkan pembakaran terbuka sepanjang tempoh cuaca panas ini.

“Jika pembakaran perlu dilakukan, pastikan api dipadam sepenuhnya sebelum meninggalkan kawasan bagi mengelakkan risiko kebakaran besar akibat tiupan angin,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memantau keadaan semasa dan mengadakan mesyuarat penyelarasan minggu depan bagi memastikan semua agensi berada dalam keadaan siap siaga.

Mengenai pembenihan awan, beliau berkata langkah tersebut hanya akan dipertimbangkan sebagai pilihan terakhir bergantung kepada keadaan atmosfera yang sesuai.

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: Usaha autonomi Sarawak tidak wajar disalah erti
Next: PDP perlu jujur, utamakan perpaduan demi kekal relevan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.