
MIRI: Tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran belukar yang marak berhampiran BSN Permyjaya di sini, petang tadi sebelum ia merebak lebih luas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lutong, Henry Jugah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.40 petang sebelum sepasukan bomba digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian pada jam 3.53 petang, pasukan operasi mendapati benar berlaku kebakaran belukar seperti yang dilaporkan.
“Selepas membuat penilaian awal di lokasi, pasukan bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran salur bantu mula sepanjang 100 kaki dari jentera sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
“Operasi berjaya dikawal pada jam 4.00 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.10 petang selepas anggota memastikan keadaan benar-benar selamat,” katanya di sini.
Henry berkata, kebakaran melibatkan kawasan belukar seluas sekitar 0.43 ekar dan tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Oleh Liong Chai Ling