KUCHING: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah mengetuai Mesyuarat Ahli Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPSS) yang berlangsung di Bangunan Baitulmakmur II di sini, semalam.
Antara perkara yang berlangsung ialah pelantikan semula 32 Ahli Majlis Pembangunan Sosial Sarawak bagi sesi 2020-2022.
Dalam sidang media mesyuarat berkenaan, Fatimah berkata,“persetujuan telah dicapai untuk melaksanakan kajian yang dibentangkan di bawah RMK-12 iaitu menuju masyarakat penuaan sihat di Sarawak dan Indeks Kesejahteraan Sosial Sarawak.
“Pegawai MPSS juga perlu melaksanakan kajian profil keganasan rumah tangga di Sarawak bagi 2015-2019 serta tinjauan terhadap isu-isu sosial Suku Kaum Penan di Sarawak.”
Pada masa yang sama, MPPS juga melancarkan sebanyak 38 program baharu namun berikutan penularan wabak Covid-19, alternatif lain mungkin akan diambil untuk meneruskan program yang dirancang.
“Sejak MPSS berada dalam KWKPKP (Kementerian Kebajikan Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak) dari 2016 hingga 2019, kita berjaya menubuhkan 25 urus tadbir dan terma rujukan bagi tangani isu sosial.
“Kita juga melaksanakan 258 siri program pembangunan dan intervensi sosial yang melibatkan 30,000 peserta,” jelasnya.
Beliau juga mengingatkan agar rakyat sentiasa mengamalkan norma baharu dan patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) selepas Kuching diisytiharkan sebagai zon merah.
Oleh Asyraf Halim