
BAU: Anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau bersama penduduk Kampung Apar Singai menyertai program gotong-royong di Gereja St Henry, pagi tadi, sempena sambutan Hari Polis ke-219 peringkat daerah.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A. Rahman, berkata program yang berlangsung dari 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari itu melibatkan pegawai kanan, pegawai rendah polis, pegawai awam serta penduduk kampung bagi membuat persiapan untuk sembahyang kebaktian agama Kristian yang dijadualkan esok.
Menurut beliau, antara yang hadir ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Bau, DSP Ritchie Jarit, bersama empat pegawai kanan polis, 30 anggota polis, lima pegawai awam dan lapan penduduk kampung, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 48 orang. Program itu diselaraskan oleh Insp Jimmy Tanjong Andrew Mang.

“Para peserta bergotong-royong mengecat pagar gereja, membersihkan bahagian dalam gereja serta menyusun atur kawasan di dalam perkarangan.
“Mereka juga menyusun kerusi dan meja sebagai persediaan untuk sembahyang kebaktian agama Kristian yang akan diadakan pada 9.00 pagi esok sempena sambutan Hari Polis ke-219,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Haide menambah, penduduk kampung memberikan kerjasama yang sangat baik kepada pihak IPD Bau dalam menjayakan program tersebut.
Katanya, program gotong-royong itu berjalan lancar serta mencerminkan hubungan erat antara polis dan masyarakat setempat.
Oleh Connie Chieng