
GENEVA: Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) berkata pada Isnin konflik di Asia Barat meningkatkan kos dan menyebabkan kelewatan dalam rantaian bekalan kemanusiaan global, lapor Xinhua.
IFRC dalam kenyataan memaklumkan kos pengangkutan laut meningkat sekitar 70 peratus, dengan lonjakan sehingga 300 peratus di beberapa laluan akibat gangguan dan kesesakan.
Kos pengangkutan darat rentas sempadan meningkat 20 hingga 30 peratus selain kelewatan, kekurangan pemandu dan pengetatan kapasiti manakala (kos) pengangkutan udara meningkat sekitar 50 hingga 70 peratus disebabkan oleh kapasiti terhad dan surcaj bahan api tidak menentu, menurut kenyataan itu.
Organisasi itu menambah walaupun hab rantaian bekalan globalnya di Dubai masih beroperasi, ia terpaksa lebih bergantung pada laluan darat yang lebih panjang dan lebih mahal untuk mengangkut barangan kemanusiaan.
IGRC memberi amaran ketika belanjawan untuk bantuan kemanusiaan yang semakin mengecil, perubahan ini akan memberikan kesan terhadap populasi golongan rentan dunia.- Bernama-Xinhua