
BINTANGOR: Tindakan pantas anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor berjaya memadam kebakaran belukar di tepi Jalan Narasit.
Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 6.28 petang semalam.
“Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mijan Pamin bersama tiga orang anggota bomba bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.

“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan kawasan belukar di tepi jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air dari tangki jentera sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya.
“Operasi pemadaman berjalan lancar tanpa melibatkan sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda.
“Operasi di lokasi ditamatkan sepenuhnya pada 7.50 malam,” katanya.
Sehubungan itu, Mahmudin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengelakkan pembakaran terbuka yang boleh mencetuskan kebakaran belukar terutama ketika cuaca panas dan kering.
Oleh Earl Anek