Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Konflik Asia Barat cetus krisis, ganggu kehidupan harian dari Vientiane hingga Yangon
  • GLOBAL

Konflik Asia Barat cetus krisis, ganggu kehidupan harian dari Vientiane hingga Yangon

Utusan Sarawak 5 hours ago
KRISIS tenaga akibat konflik di Asia Barat jejaskan kehidupan harian di Vientiane hingga Yangon. Gambar hiasan.

PHNOM PENH: Ketegangan yang semakin meningkat di Asia Barat mendorong kerajaan di seluruh rantau ini, dari Vientiane hingga Yangon, melaksanakan langkah luar biasa bagi mengekang penggunaan tenaga, dengan matlamat mengawal kenaikan harga bahan api.

Kenaikan harga minyak dan petrol akibat gangguan rantaian bekalan dari Teluk Parsi semakin menjadi beban besar.

Ia mengganggu kehidupan harian serta memaksa rakyat dan perniagaan menyesuaikan semula perbelanjaan serta operasi.

Bekerja dari rumah, pengurangan hari persekolahan dan penurunan suhu penyaman udara dilaksanakan secara meluas susulan krisis bahan api, melibatkan negara Laos, Myanmar dan Kemboja.

Kerajaan Myanmar yang akan datang telah mengumumkan arahan baharu mewajibkan jabatan kerajaan melaksanakan kerja dari rumah setiap Rabu bermula 25 Mac.

Langkah tambahan itu dibuat selepas arahan sebelum ini iaitu sistem penggiliran kenderaan ganjil-genap dan struktur pembelian berasaskan catuan bahan api, sebagai langkah awal bagi mengelakkan kekurangan bekalan, lapor media kerajaan The Global New Light of Myanmar hari ini.

“Semua pegawai dan kakitangan kerajaan dikehendaki melaksanakan tugas dari rumah atau asrama masing-masing setiap Rabu, dan bukannya berulang-alik ke pejabat,” menurut kenyataan Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara, memetik media kerajaan itu.

“Sebagai objektif utama langkah ini adalah penjimatan bahan api, pegawai dan kakitangan perlu mengelakkan sebarang perjalanan atau penggunaan kenderaan yang tidak penting pada hari tersebut,” katanya.

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) pada 20 Mac memberi amaran mengenai krisis bahan api yang semakin buruk akibat perang di Asia Barat serta menggesa kerajaan, perniagaan dan isi rumah menyesuaikan diri dengan krisis bekalan itu.

“Perang di Asia Barat mewujudkan krisis tenaga besar, termasuk gangguan bekalan terbesar dalam sejarah pasaran minyak global.

“Tanpa penyelesaian segera, kesan terhadap pasaran tenaga dan ekonomi akan menjadi semakin serius,” kata Ketua Pengarah Eksekutif IEA Fatih Birol, menurut laman web agensi itu.

Pada Isnin, minyak mentah didagangkan sekitar US$100 (RM394) setong berbanding sekitar US$60 (RM236) hingga US$68 (RM268) setong bagi Brent dan WTI pada Februari, sebelum konflik ketenteraan bermula.

Laos yang mempunyai 7.7 juta penduduk turut terkesan akibat krisis minyak yang bermula selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari.

Pejabat Perdana Menteri Laos mengarahkan pengurangan hari persekolahan daripada lima hari kepada hanya tiga hari seminggu sebagai tindak balas terhadap kenaikan harga dan kekurangan berterusan, menurut Vientiane Times hari ini.

“(Selain itu) sebagai langkah pertengahan, pihak berkuasa akan mengalihkan sekolah dan institusi pendidikan yang mempunyai kapasiti mencukupi kepada pembelajaran dalam talian sekiranya keadaan bertambah buruk atau berterusan.

“Sekolah yang tidak mempunyai infrastruktur dan teknologi yang diperlukan akan dibenarkan menangguhkan kelas sementara waktu,” lapor akhbar itu.

Pada Isnin, kerajaan Kemboja pimpinan Perdana Menteri Hun Manet mengumumkan beberapa langkah bagi mengekang penggunaan bahan api dan elektrik, termasuk pengurusan trafik lebih baik pada waktu puncak serta pengurangan perjalanan rasmi jarak jauh.

Beberapa kementerian turut mengumumkan langkah penjimatan tenaga seperti menetapkan suhu penyaman udara di pejabat, bilik mesyuarat dan kelas pada 25 darjah Celsius. – Bernama

Tags: Global

Continue Reading

Previous: 44 rakyat Ghana diselamatkan daripada agensi pengambilan pekerja palsu
Next: Lapangan Terbang LaGuardia New York ditutup, pesawat berlanggar dengan trak bomba

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.