
MUNICH: Cooper Lutkenhaus dari Amerika Syarikat (AS) menjadi juara dunia termuda dalam sukan olahraga selepas memenangi gelaran acara 800 meter dalam dewan pada Ahad di Poland pada usia baru 17 tahun 92 hari, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Olahraga Dunia mengesahkan bahawa beliau adalah juara termuda dalam kejohanan dunia dalam dewan dan luar dewan.
Lutkenhaus mendahului saingan di Torun ketika perlumbaan berbaki 300m dan terus memacu larian, mencatatkan masa 1 minit 44.24 saat untuk menewaskan pelari Belgium Eliott Crestan dengan perbezaan 0.12 saat.
Dalam acara lain, Devynne Charlton dari Bahamas menyamai rekod dunia 60m lari berpagar miliknya sendiri iaitu 7.65 saat untuk memenangi gelaran ketiga.
Ia merupakan rekod dunia kedua pada kejohanan itu, selepas Simon Ehammer dari Switzerland mencatatkan rekod baharu heptatlon dengan 6,670 mata pada Sabtu.
Tom Walsh dari New Zealand meraih pingat emas keempatnya dalam acara lontar peluru, manakala juara Olimpik Keely Hodgkinson merangkul gelaran dunia 800 meter wanita dalam dewan yang pertama buat dirinya.- Bernama-dpa