Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • TMM2026: Sasaran ketibaan pelancong masih dalam landasan positif
  • NASIONAL

TMM2026: Sasaran ketibaan pelancong masih dalam landasan positif

Utusan Sarawak 8 hours ago
TIMBALAN Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Chua Choon Hwa bercakap kepada media selepas sambutan Aidilfitri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di Sepang, hari ini. Foto Bernama

SEPANG: Sasaran ketibaan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) masih berada di landasan positif walaupun berdepan cabaran ketidaktentuan global, khususnya konflik di Asia Barat yang berpotensi menjejaskan laluan transit dan pergerakan pelancong antarabangsa.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Chua Choon Hwa berkata prestasi kemasukan pelancong setakat Februari lepas adalah memberangsangkan dengan jumlah ketibaan meningkat lebih 30 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, sekali gus memberi keyakinan sasaran TMM2026 kekal realistik untuk dicapai.

Beliau berkata data bagi bulan Mac masih dalam proses pengumpulan sebelum unjuran baharu dibuat terhadap pencapaian sasaran pelancongan negara.

“Hingga Februari lepas iaitu semasa Tahun Baharu Cina, kita mempunyai inbound yang tinggi dan melepasi peratusan sebelum ini sekurang-kurangnya 30 peratus,” katanya kepada media selepas sambutan Aidilfitri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini.

Chua berkata MOTAC berharap momentum positif tersebut dapat dikekalkan sepanjang Aidilfitri melalui penganjuran sambutan hari raya di sembilan lapangan terbang utama seluruh negara termasuk KLIA Terminal 2, Pulau Pinang, Johor, Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata ketidaktentuan global bukan sahaja sebagai cabaran, malah berpotensi membuka peluang baharu kepada Malaysia untuk menarik pelancong yang menangguhkan perjalanan jarak jauh.

Beliau berkata perubahan tingkah laku pelancong global yang cenderung memilih destinasi lebih dekat dan stabil boleh memberi kelebihan kepada Malaysia, khususnya dalam usaha mencapai sasaran TMM2026

“Kadang-kadang apabila destinasi jauh tidak stabil, pelancong akan mencari pilihan yang lebih dekat. Ini boleh menjadi peluang kepada Malaysia sekiranya strategi yang dilaksanakan tepat,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Chua berkata strategi pelancongan akan diselaras antaranya menangani gangguan transit terutamanya melibatkan penerbangan di Asia Barat, yang sebelum ini menjadi laluan penting bagi pelancong jarak jauh ke rantau Asia.

Beliau berkata kerajaan sedang meneliti pilihan laluan transit alternatif serta memperkukuh tumpuan kepada pasaran Asia yang kurang terjejas oleh konflik semasa bagi memastikan aliran pelancong ke Malaysia kekal stabil.

“Transit di Asia Barat sekarang agak tergendala, jadi kita sedang fikirkan cara untuk mengatasi keadaan itu termasuk menggunakan lapangan terbang transit tertentu untuk mengelakkan kawasan yang terjejas,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa sebarang pelarasan strategi akan dibuat berasaskan data bagi memastikan sasaran TMM2026 kekal relevan dan berdaya capai sasaran.

“Walaupun kita nampak ada gangguan tertentu, kita masih berusaha bersungguh-sungguh untuk bukan sahaja memastikan sasaran yang ditetapkan dapat dicapai, malah mencapai prestasi yang lebih baik sekiranya keadaan mengizinkan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini menyasarkan 47 juta ketibaan pelancong antarabangsa serta pendapatan RM329 bilion sempena TMM2026.

Pada majlis itu, pelawat yang tiba disambut dengan cenderamata perayaan di balai ketibaan dan dijemput untuk menikmati juadah tradisional Aidilfitri, sebagai cerminan warisan budaya negara dan hospitaliti mesra Malaysia Truly Asia.

Turut hadir Ketua Pengarah Tourism Malaysia Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim dan Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia Lee Thai Hung.- Bernama

Continue Reading

Previous: Bekas pekerja bank raih jualan ratusan ribu ringgit melalui perusahaan madu kelulut
Next: NRES perkukuh sistem amaran awal dan integrasi AI, tingkat ketepatan ramalan cuaca

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.