Paris: Perancis menguatkuasakan perintah berkurung pada waktu malam membabitkan dua pertiga daripada penduduk iaitu kira-kira 46 juta orang mulai malam kelmarin.
Ia susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang melepasi sejuta di negara itu.
Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata, perintah berkurung itu akan berkuat kuasa selama enam minggu.
Minggu lalu, perintah berkurung itu dikuatkuasakan di Paris dan lapan bandar utama lain di negara itu.
Bagaimanapun, dengan perkembangan terbaharu itu, perintah sama dikuatkuasakan di 38 kawasan lain.
Perintah berkurung itu antara jam 9.00 malam hingga 6.00 pagi.
Di Geneva, negara-negara di hemisfera utara kini berdepan detik sukar dalam melawan penularan Covid-19, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Menurut organisasi itu, terdapat banyak negara di bahagian berkenaan yang kini menyaksikan lonjakan kes baharu.
“Tempoh beberapa bulan lagi akan menjadi amat getir dan sebahagian daripada negara berkenaan berada di landasan yang buruk,” kata Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus menerusi sidang media secara maya.
Beliau berkata, terlalu banyak negara berkenaan kini merekodkan peningkatan kes baharu Covid-19 dan ia menyebabkan kapasiti unit rawatan rapi (ICU) di negara berkenaan menghampiri atau melebihi kapasiti.
“Kita menggesa pemimpin negara untuk mengambil langkah sewajarnya untuk mengelak lebih ramai yang terkorban,” katanya.
Covid-19 sudah menjangkiti hampir 42 orang dan membunuh 1.1 juta orang sejak pertama kali dikesan di China, Disember tahun lalu, berdasarkan kiraan AFP.
Maria Van Kerkhove, yang mengetuai pasukan teknikal Covid-19 WHO pula berkata, situasi amat membimbangkan di Eropah apabila hampir separuh kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu adalah dalam kalangan negara di benua berkenaan.
“Kita bukan sahaja melihat peningkatan kes di banyak bandar di Eropah, tetapi kapasiti ICU juga akan menghampiri maksimum dalam masa beberapa minggu lagi,” katanya.
Sementara itu, Korea Selatan mencatat peningkatan kes Covid-19 tertinggi dalam tempoh 40 hari dengan kebanyakan jangkitan dilaporkan di hospital dan pusat jagaan.
Di sebuah rumah jagaan di Namyangju, timur Seoul, penghuni terpaksa diasingkan selepas lebih 30 pekerja dan penghuni pusat itu disahkan positif.
Kira-kira 120 jangkitan dikaitkan dengan sebuah hospital di Gwangju yang berdekatan dengan pusat jagaan berkenaan.
Sebanyak 155 kes baharu diumumkan semalam oleh Badan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Korea menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan di negara itu meningkat kepada 25,698 kes serta 455 kematian.
Agensi itu memberitahu sebanyak 138 kes baharu membabitkan jangkitan tempatan, kebanyakannya dilaporkan dari kawasan ibu kota, negara itu.
Sekurang-kurangnya 17 kes baharu berkaitan dengan jangkitan luar termasuk penumpang yang datang dari Perancis, Kuwait, Nepal, Bangladesh dan Jepun.
Penyebaran virus itu sudah berlarutan beberapa bulan, kini menimbulkan kebimbangan baharu selepas negara itu mula melonggarkan sekatan jarak sosialnya minggu lalu dalam usaha merancakkan ekonomi yang semakin lemah.
Perniagaan berisiko tinggi seperti kelab malam dan bar karaoke telah dibuka semula sementara peminat kembali ke gelanggang sukan profesional.-AFP