Ronaldo berehat seketika akibat kecederaan hamstring, namun masih dijangka mengetuai jentera serangan Portugal di Piala Dunia nanti. Foto fail AFP
LISBON: Bintang sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo terlepas dua aksi persahabatan pra-Piala Dunia hujung bulan ini akibat kecederaan hamstring.
Penyerang berusia 41 tahun itu tidak beraksi sejak hujung Februari bersama kelab Arab Saudi, Al-Nasar.
Namun jurulatih Portugal, Roberto Martinez menegaskan kecederaan tersebut hanya ringan dan tidak menjejaskan peluang Ronaldo beraksi di Piala Dunia — yang berpotensi menjadi penampilan keenam rekodnya.
“Dia mungkin kembali dalam satu atau dua minggu,” kata Martinez sambil menambah posisi penyerang tengah di kejohanan itu bakal dikongsi Ronaldo bersama Goncalo Ramos.
Portugal dijadual menentang Mexico
di Mexico City pada 28 Mac sebelum berdepan Amerika Syarikat di Atlanta tiga hari kemudian — kem latihan terakhir sebelum senarai skuad Piala Dunia diumumkan.
Pada kejohanan yang berlangsung di AS, Mexico dan Kanada dari 11 Jun hingga 19 Julai itu, Portugal diundi dalam Kumpulan K bersama Colombia dan Uzbekistan. – AFP