
KOTA SAMARAHAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak akan melaksanakan Op Selamat 26 sempena Aidilfitri 2026 bermula 19 hingga 24 Mac ini bagi meningkatkan keselamatan jalan raya serta mencegah jenayah.
Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Datuk Saifullizan Ishak, operasi tersebut melibatkan seramai 750 pegawai dan anggota dari pelbagai jabatan serta dilaksanakan di seluruh daerah di negeri ini.
“Operasi ini bertujuan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di samping menguatkuasakan undang-undang lalu lintas serta mendidik pengguna jalan raya mengenai aspek keselamatan.

“Penugasan anggota turut ditumpukan di lokasi dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan termasuk laluan utama seperti Pan Borneo bagi memastikan pengguna jalan raya lebih selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan kenyataan sempena Program Advokasi dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Op Selamat 26 di Pasaraya Farley, Kota Samarahan, hari ini.
Tambah beliau, PDRM juga akan mempergiat rondaan berkala bagi mencegah jenayah pecah rumah terutama melibatkan kediaman yang ditinggalkan ketika musim perayaan.

“Orang ramai disarankan memaklumkan kepada pihak polis sebelum meninggalkan rumah melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), menghubungi balai polis berdekatan atau mengisi borang balik kampung di portal rasmi PDRM.
“Kenderaan barangan dilarang berada di jalan raya pada 19 dan 20 Mac serta 28 dan 29 Mac ini mengikut ketetapan Kementerian Pengangkutan Malaysia,” jelasnya.
Mengulas lanjut, statistik menunjukkan penurunan kes kemalangan jalan raya sepanjang Op Selamat 2025 iaitu sebanyak 332 kes berbanding 354 kes pada 2024, bersamaan penurunan 6.2 peratus.
“Jumlah kemalangan maut juga menurun kepada lima kes pada 2025 berbanding tujuh kes pada tahun sebelumnya.
“Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa berhemah, merancang perjalanan dan mematuhi peraturan lalu lintas sepanjang musim perayaan,” ujarnya.
Program advokasi dan kempen keselamatan jalan raya yang dilaksanakan turut menjadi pelengkap kepada Op Selamat 26 dalam meningkatkan kesedaran masyarakat agar lebih bertanggungjawab ketika menggunakan jalan raya.
Op Selamat merupakan operasi tahunan PDRM yang memfokuskan kepada keselamatan pengguna jalan raya serta pencegahan jenayah ketika orang ramai pulang ke kampung halaman.
Oleh Masrin Affirah