
KUCHING: Pembantu Khas kepada Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian menyuarakan kebimbangan berhubung kebocoran paip air besar di Lorong Keranji 4 susulan aduan penduduk bahawa masalah itu telah berlarutan tanpa sebarang kerja pembaikan.
Beliau berkata sejumlah besar air terus memancut keluar dari paip rosak itu, dengan tekanan kuat yang boleh menyebabkan hakisan tanah di kawasan sekitarnya.
“Keadaan ini amat membimbangkan kerana lokasi kebocoran berhampiran jambatan. Hakisan berpanjangan boleh melemahkan struktur tanah dan akhirnya menjejaskan keselamatan awam jika tidak ditangani segera,” katanya.
Menurut beliau, perkara itu telah dikemukakan kepada Sarawak Water dengan gesaan supaya tindakan segera diambil bagi membaiki paip tersebut.
Beliau turut menekankan isu air tidak berhasil, dengan menyatakan kebocoran yang tidak ditangani, paip pecah dan kelewatan pembaikan menyumbang kepada pembaziran air terawat.
“Pengurangan air tidak berhasil perlu menjadi keutamaan Sarawak Water dan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi kerana ia menjejaskan kecekapan operasi dan memberi tekanan kepada sistem bekalan air,” katanya.
Beliau menggesa tindakan segera serta penambahbaikan sistem penyelenggaraan bagi memastikan infrastruktur air sentiasa dalam keadaan baik.
Oleh Connie Chieng