
LAWAS: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) melaksanakan pelbagai inisiatif bantuan kepada rakyat untuk memastikan kepentingan rakyat terus diutamakan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan GPS tidak pernah menggunakan kedudukannya untuk mengaut keuntungan daripada program pembangunan dan kebajikan rakyat untuk kepentingan parti.
Beliau berkata sebaliknya semua projek yang dirancang dan diumum adalah dilaksana sepenuhnya oleh jabatan kerajaan secara telus dan berhemah.
“Kita bukan macam parti lain, ada parti politik yang menggunakan kedudukan dalam kerajaan. Sebaliknya kita apa-apa projek fizikal dan projek untuk kebajikan dan sebagainya semuanya disalurkan melalui jabatan untuk melaksana,” katanya pada majlis Pelancaran SKAS Daerah Lawas di Hotel Seri Malaysia Lawas pada semalam.
Seterusnya beliau memberitahu penglibatan kerajaan GPS adalah sebagai melicinkan perlaksanaan projek di samping untuk menerangkan dasar dan program itu supaya segala yang dirancang akan sampai kepada kumpulan sasar iaitu rakyat Sarawak.
“Kerajaan GPS ini yang dipimpin oleh Premier Sarawak adalah membangunkan negeri ini dan kita mahu menjaga kepentingan rakyat kita dan kita bekerjasama dengan semua masyarakat perlaksanaannya yang jabatan kerajaan, merekalah yang akan melaksanakan segala dasar program,” katanya.
Pada majlis berkenaan beliau melakukan simbolik perasmian dengan menyerahkan replika cek Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) kepada penerima daripada kategori isi keluarga, warga emas dan bujang.
Awang Tengah bersama Henry Sum Agong kemudiannya mengagihkan lebih 500 bubur kacang, puding dan minuman ringan anjuran Saberkas Cawangan Bukit Sari kepada orang ramai di Hotel Seri Malaysia.
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Datuk Ubaidillah Latip, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Naib Presiden Persatuan Jati Mirriek Miri Dato Safri Datuk Haji Abdillah.
Oleh Adeng Edrus