AFGHANISTAN: Sekurang-kurangnya 13 maut manakala lebih 100 yang lain cedera dalam kejadian letupan bom kereta di wilayah Ghor, barat Afghanistan pada Ahad.
Menurut Ketua Pengarah hospital di wilayah itu, pihaknya bertungkus lumus menyelamatkan dan merawat mangsa yang dikejarkan ke hospital dan menjangka angka kematian akan terus meningkat.
Sementara itu, Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Tariq Aran memaklumkan letupan bom kereta itu disasarkan ke atas ibu pejabat polis.
Memetik laporan AP, setakat ini masih tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan tersebut.
Kejadian itu berlaku ketika pertempuran antara Taliban dan kerajaan negara itu semakin meningkat sejak beberapa minggu lalu.
Untuk rekod, rundingan damai antara Taliban dan kerajaan Afghanistan bermula di Qatar, bulan lalu, namun keganasan terus berlaku di negara berkenaan.
Ia dilihat seolah-olah tertangguh apabila Taliban dan kerajaan Kabul masing-masing bergelut dalam mengukuhkan rangka kerja asas untuk rundingan berkenaan.-AFP