Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • 115 anggota LSS, 15 bot peronda pantau keselamatan sungai musim perayaan
  • TEMPATAN

115 anggota LSS, 15 bot peronda pantau keselamatan sungai musim perayaan

Utusan Sarawak 6 hours ago
PENGERUSI LSS, Dr Safiee Ahmad Safiee menyampaikan jaket keselamatan kepada orang awam yang terlibat dalam program berkenaan.

SIBU: Seramai 115 anggota penguat kuasa bersama 15 bot peronda milik Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) digerakkan bagi memantau keselamatan pengangkutan sungai sempena musim perayaan Hari Raya dan pembukaan sesi persekolahan tidak lama lagi.

Pengerusinya, Dr Safiee Ahmad berkata, langkah itu dilaksanakan menerusi Kempen Keselamatan Sungai bagi memastikan pengusaha bot serta pengguna mematuhi peraturan selain mengutamakan aspek keselamatan sepanjang tempoh peningkatan pergerakan penumpang.

Menurutnya, operasi pemantauan dan penguatkuasaan akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu sebelum perayaan dari 18 hingga 20 Mac serta selepas perayaan dari 27 hingga 29 Mac menjelang pembukaan sesi persekolahan pada 30 Mac.

“Penggunaan pengangkutan sungai dijangka meningkat apabila ramai penduduk pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya selain keperluan perjalanan berkaitan sesi persekolahan.

“Justeru, kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengusaha bot dan pengguna agar sentiasa mengutamakan keselamatan ketika menggunakan pengangkutan sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Sungai Sempena Hari Raya 2026 dan Cuti Persekolahan Penggal 1 Sesi 2026 di Terminal Penumpang Sibu, di sini, hari ini.

PENGERUSI LSS, Dr Safiee Ahmad Safiee menyaksikan penyerahan ‘fleet card’ petrol bersubsidi RON95 kepada pengusaha bot penumpang pada majlis berkenaan hari ini.

Safiee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro menasihatkan pengusaha bot supaya tidak membawa penumpang melebihi had muatan sekiranya berlaku peningkatan permintaan sepanjang musim perayaan.

Sebaliknya, katanya, pengusaha digalakkan menambah kekerapan perjalanan bagi menampung jumlah penumpang tanpa menjejaskan aspek keselamatan.

“Kita tidak mahu berlaku kemalangan akibat muatan berlebihan. Jika permintaan meningkat, pengusaha boleh menambah perjalanan bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin,” katanya.

Mengulas isu kenaikan tambang, beliau berkata LSS sentiasa menjalankan pemantauan dan telah mengingatkan pengusaha bot supaya tidak menaikkan tambang secara sewenang-wenangnya.

Katanya, tindakan boleh diambil di bawah Ordinan Sarawak Rivers 1983 sekiranya berlaku pelanggaran peraturan, termasuk denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambahnya, setakat ini tahap pematuhan dalam kalangan pengusaha bot adalah baik dan tidak membimbangkan.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai yang pulang ke kampung sempena perayaan agar merancang perjalanan lebih awal serta sentiasa mengutamakan keselamatan sama ada menggunakan pengangkutan sungai mahupun jalan raya.

“Kita mahu semua dapat menyambut perayaan dengan selamat dan penuh kegembiraan bersama keluarga,” katanya.

Pada majlis tersebut, Safiee turut menyampaikan jaket keselamatan serta menyerahkan ‘fleet card’ petrol bersubsidi RON95 kepada pengusaha bot penumpang.

Turut hadir ADUN Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek, Controller LSS Lt Kol Ding Tiew Wong (B) serta tetamu lain.

Oleh Tarani Lanting

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Violet Yong gesa kerajaan Sarawak wujudkan saluran proses rayuan SKAS
Next: Jambatan Batang Igan dibuka, tamatkan 30 tahun perkhidmatan feri

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.