SIBU: Parti Rakyat Sarawak (PRS) sentiasa ‘membuka pintunya’ kepada bekas ahli yang mahu kembali berjuang dalam parti tersebut.
Presidennya, Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing berkata, hanya dengan menyertai atau menjadi ahli PRS sekali gus menjadi ahli Gabungan Parti Sarawak (GPS) seseorang itu dapat memperjuangkan untung nasib rakyat di negeri ini.
“Lupakan persengketaan yang lalu dan bersama-samalah kita dalam GPS terus memperjuangkan serta berkhidmat kepada rakyat.
“Saya amat mengalu-alukan Susan, Lembat serta yang lain untuk bersama kita di dalam GPS,” katanya pada sidang media di Sibu, semalam.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri dalam pada itu mengucapkan syabas kepada Protem Parti Sarawak Bersatu (PSB) Cawangan Ngemah bersama ahli-ahlinya yang bertindak keluar parti beramai-ramai semalam.
Mengenai calon di kawasan Ngemah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Masing menegaskan bahawa keputusan adalah terpulang kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg selaku Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menentukan calon yang layak.
Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu menjelaskan bahawa Abang Johari terbuka terhadap mana-mana sahaja calon yang dicadangkan oleh rakyat di DUN Ngemah namun keputusan muktamadnya terletak di tangan Abang Johari.
“Kamu mungkin mempunyai rasa tidak puas hati terhadap wakil rakyat yang ada pada masa ini, tetapi apa-apa keputusan akhir adalah di tangan Abang Johari.
“Saya hanya boleh mengesyorkan calon mengikut pilihan mereka (rakyat) tetapi pucuk pimpinan GPS yang membuat keputusan untuk menentukan siapa calon kerusi DUN Ngemah pada PRN12 kelak bukan saya,” ujarnya.
Terdahulu pada sidang media itu, bekas ahli PSB itu telah mengemukan cadangan agar calon baru diletakkan di kerusi Ngemah pada PRN akan datang bagi menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent.
Kesemua mereka menamakan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kapit Anyi Jana sebagai calon GPS-PRS.
Terdahulu, Masing menerima banyak cadangan dari bekas ahli PSB itu termasuk Tuai-tuai Rumah agar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent digantikan dengan orang lain.
Mereka sebulat suara mencadangkan agar Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kapit Anyi Jana dicalonkan mewakili GPS-PRS pada PRN12 di kerusi DUN Ngemah kelak.
Oleh Nurzilla Mohamad