
KUCHING: Seramai 58 penerima dari sekitar bandar raya ini dan Samarahan menerima sumbangan bakul makanan menerusi Program Pengagihan Bakul Makanan ‘Sejambak Kasih YB’ sempena Ramadan yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat ADUN N.12 Kota Sentosa dengan kerjasama Farley Mall.
Menurut ADUN Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin, program berkenaan merupakan salah satu usaha pihaknya untuk membantu keluarga yang memerlukan agar dapat menjalani Ramadan dengan lebih tenang dan bermakna.
“Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan, kesabaran dan keinsafan yang mengingatkan kita tentang nilai kasih sayang serta semangat berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.


“Melalui program ‘Sejambak Kasih YB’, pihak Pusat Khidmat ADUN Kota Sentosa berusaha menyampaikan bantuan kepada keluarga yang memerlukan supaya mereka dapat menjalani Ramadan dengan sedikit kelegaan bersama keluarga.
“Walaupun sumbangan ini mungkin tidak besar nilainya, namun ia datang daripada hati yang ikhlas dan semangat kebersamaan masyarakat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pengagihan Bakul Makanan ‘Sejambak Kasih YB’ sempena Ramadan, di Farley Kuching, hari ini.
Tambah beliau, semangat saling membantu antara masyarakat menjadi kekuatan utama dalam memastikan keharmonian dan perpaduan terus terpelihara di kawasan Kota Sentosa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua sukarelawan, pemimpin masyarakat serta pihak yang telah menyumbang dan bekerjasama bagi menjayakan program berkenaan.

“Sebagai wakil rakyat bagi kawasan Kota Sentosa, komitmen saya adalah untuk terus mendekati rakyat dan memastikan kebajikan masyarakat sentiasa diberi perhatian tanpa mengira kaum atau latar belakang,” ujarnya.
Untuk rekod, antara penerima sumbangan terdiri daripada penduduk Kampung Stutong Baru Melayu dan Kampung Batu Perak yang berada dalam kawasan DUN Kota Sentosa di bawah seliaan, Wilfred Yap Yau Sin.
Oleh Masrin Affirah