
GEORGE TOWN: Kejayaan mengutip tiga mata penuh dan melonjak di tangga kedua Liga Super menjadi suntikan semangat kepada Kuching City FC menjelang aksi separuh akhir Piala Malaysia menentang Selangor FC pada 5 April depan.
Ketua Jurulatih Kuching City FC Aidil Sharin Ishak menyifatkan kemenangan 1-0 ke atas Penang FC pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang malam tadi sangat bermakna buat pasukan berkenaan.
“Saya sentiasa memberi penghargaan kepada pemain atas kejayaan mengutip tiga mata ini. Kami tahu ia tidak mudah kerana kami tahu kemampuan Pulau Pinang. Mereka terus bermain dengan baik tetapi kami juga melaksanakan rancangan kami dengan sangat baik,” katanya.
Pengendali berusia 49 tahun itu turut memuji persembahan beberapa pemain termasuk Wanja Ronald Ngah yang bekerja keras sepanjang perlawanan meskipun tidak menjaringkan gol, selain penyerang Gabriel Nistelrooy Tamin yang memanfaatkan peluang untuk menghadiahkan kemenangan kepada skuad The Cats.
Beliau bagaimanapun mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak leka dengan kemenangan itu, sebaliknya perlu terus bekerja keras kerana cabaran lebih besar menanti selepas cuti panjang Aidilfitri ini.
“Sudah tentu kami akan cuba memperbaiki persembahan. Itulah bola sepak, apabila anda bermain di tempat lawan, ia tidak mudah tetapi kami akan kembali berlatih dan melakukan yang terbaik untuk memperbaiki pasukan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Penang FC Wan Rohaimi Wan Ismail kecewa dengan kekalahan pasukan itu meskipun berjaya mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol sepanjang perlawanan itu.
Beliau berkata kegagalan pemain menyudahkan peluang yang diperoleh, selain kesilapan mudah yang membawa kepada jaringan lawan menjadi punca utama kekalahan pasukan itu.
“Gol yang kami bagi berpunca daripada kesilapan, macam budak sekolah. Jadi, tidak boleh macam ini kerana ini adalah bola sepak peringkat tertinggi, pemain perlu lebih tajam di hadapan pintu gol dan lebih tenang di hadapan pintu gol sendiri. Ini kesilapan yang menyebabkan kami kalah hari ini (malam tadi),” katanya.
Wan Rohaimi bagaimanapun tetap berpuas hati dengan kesungguhan yang ditunjukkan pemain, terutama pada babak pertama, sambil menegaskan beberapa aspek permainan perlu diperbaiki sebagai persiapan menghadapi aksi final Piala Cabaran yang akan berlangsung bulan depan.
Pada perlawanan malam tadi, Kuching City FC memperoleh gol tunggal perlawanan menerusi jaringan Gabriel Nistelrooy pada minit ke-40, sekali gus naik ke tangga kedua selepas mengumpul 40 mata, mengatasi Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC yang berkongsi 39 mata manakala Penang FC pula kekal di kedudukan kesembilan dengan 19 mata.
-Bernama