
SIBU: Majlis Iftar Jamaie Sibu Jaya 2026 yang berlangsung di Masjid Al-Madinatul Husna Sibu Jaya menjadi platform bagi memupuk semangat kebersamaan serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
Ketua Pegawai Operasi Amcorp Properties Berhad, Mohd Rahimi Mohd Yusof berkata penganjuran majlis tersebut bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti di Sibu Jaya tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
Menurutnya, program berbuka puasa secara bersama itu turut menjadi medium menyatukan masyarakat dalam suasana harmoni di samping menggalakkan interaksi lebih erat antara penduduk setempat.
“Tujuan kita mengadakan majlis iftar ini adalah untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat di Sibu Jaya.
“Pada masa yang sama, ia juga dapat memupuk semangat kebersamaan dalam komuniti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan.

Majlis tersebut merupakan anjuran bersama Amcorp Sibu Jaya Sdn Bhd selaku pemaju Perbandaran Sibu Jaya dan Masjid Al-Madinatul Husna Sibu Jaya di sini, semalam.
Beliau berkata program seumpama itu penting dalam membentuk masyarakat yang saling menyokong antara satu sama lain serta hidup dalam suasana harmoni.
“Melalui majlis ini, kita dapat merapatkan hubungan antara semua penduduk tanpa mengira bangsa, agama dan taraf pendidikan. Di sini kita duduk bersama dan berbuka puasa sebagai satu komuniti,” ujarnya.

Pada majlis sama, sumbangan bakul makanan turut disampaikan kepada 35 penerima terdiri daripada golongan asnaf dan mualaf melalui Baitulmal.
Selain itu, HDCam turut menyumbangkan RM10,000 kepada Masjid Al-Madinatul Husna bagi menyokong pelaksanaan aktiviti serta pembangunan masjid berkenaan.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Joshua Ting Fu Ying, Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Sempurai Petrus Ngelai, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing, Agatha Ting serta Setiausaha MDLBS Ng Siang Wei.
Oleh Tarani Lanting