
MARUDI: Program Jerayawara Bubur Lambuk 2026 berjaya dianjurkan oleh Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Aktiviti Islam Marudi (JATAIM).
Pegawai Tadbir Sarawak, Pejabat Daerah Marudi (SAO), Vanessa Joseph berkata pengagihan bubur lambuk ini bertujuan menyemarakkan semangat kebersamaan sepanjang Ramadan.
Katanya, objektif kerjasama dengan JATAIM Daerah Marudi juga adalah untuk menyumbangkan bubur lambuk kepada masyarakat setempat sepanjang Ramadan.
Malah, menurut beliau, program ini juga bertujuan memperkenalkan serta mempromosikan peranan dan fungsi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan Jawatankuasa Tetap Aktiviti Islam Marudi (JATAIM) kepada masyarakat, khususnya penduduk sekitar Marudi.

Di samping itu, katanya, program ini menjadi platform untuk meraih keberkatan dan fadilat Ramadan serta mengeratkan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan masyarakat di daerah ini.
“Dalam program ini, bubur lambuk diedarkan kepada orang awam bersama risalah serta beg cenderahati PEMADAM sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan PEMADAM dalam usaha pencegahan penyalahgunaan dadah,” tambah beliau.
Beliau berharap program ini dapat terus memperkukuh hubungan antara agensi dan masyarakat demi mewujudkan komuniti yang lebih sihat dan bebas dadah.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah, Pejabat Daerah Marudi, Rose Edward Tarang, barisan Ketua Masyarakat serta semua ahli Jawatankuasa Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan Jawatankuasa Tetap Aktiviti Islam Marudi (JATAIM) Daerah Marudi.
Oleh Jiku Juguong