
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hari ini menerima kunjungan hormat delegasi Perancis yang diketuai oleh Duta Besar Perancis ke Malaysia, Marc Abensour di Kesuma Resort di sini hari ini.
Kunjungan tersebut bertujuan untuk bertemu Tun Wan Junaidi bagi membincangkan serta meneroka peluang pelaburan dan kerjasama strategik dalam beberapa sektor utama.

Antara bidang yang dibincangkan termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri marin serta penerbangan.
Selain itu, peluang kerjasama turut melibatkan sektor tenaga boleh diperbaharui, industri minyak dan gas yang merangkumi aktiviti huluan dan hiliran, serta teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

Sarawak dilihat sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan mampan dan berteknologi tinggi berikutan sumber tenaga boleh diperbaharui yang melimpah serta infrastruktur perindustrian yang kukuh.
Kunjungan hormat tersebut merupakan yang pertama kepada Tun Pehin Sri sejak Marc Abensour dilantik sebagai Duta Besar Perancis ke Malaysia pada Januari lalu.
Turut hadir Pengarah Kementerian Luar Negeri Malaysia, Pejabat Wilayah, Dato Fenny Nuli, Kaunselor Kerjasama dan Hal Ehwal Kebudayaan di Kedutaan Perancis di Malaysia, Thierry d’Anna, serta Timbalan Kaunselor Ekonomi, Bouthaina Harfi. – Japen