MIRI : Usaha proaktif Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dalam menganjurkan kursus BeSS, MeSTI HALAL merupakan satu langkah permulaan yang amat penting untuk meningkatkan penglibatan usahawan di Sarawak.
Menteri Muda Wanita,Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus,ini sejajar dengan potensi industri halal yang semakin meningkat dan merupakan industri yang amat penting serta relevan di negeri ini.
“Saya difahamkan, kursus ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran usahawan terhadap kepentingan pensijilan Halal serta membimbing peserta untuk lebih bersedia menjalani proses-proses penilaian yang terlibat bagi mendapatkan sijil-sijil ini.
“Oleh itu, para peserta kursus ini perlu memanfaat peluang ini untuk mendapatkan seberapa banyak maklumat tentang sijil halal.
“Gunakan peluang ini dengan bertanya sehingga mendapat jawapan seperti apa yang kita mahukan.Sebab, kalau tidak bertanya kita tidak tahu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kursus BeSS, MeSTI Halal anjuran SEDC di Kompleks Islam Miri, semalam.
Rosey berharap SEDC dapat meneruskan lebih banyak aktiviti-aktiviti seumpama seterusnya dapat membantu membimbing usahawan ke arah peningkatan nilai dan kemahiran dalam perniagaan yang diceburi.
Kursus dua hari itu disertai seramai 120 usahawan tempatan dalam bidang makanan dan minuman.
Hadir sama, Pemangku Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan dan Komuniti, Zamirudin Ahmad dan Pemangku Pegawai Daerah Siti Rohani Yusof.
Sementara itu, seorang peserta kursus, Azlin Ramli,47, berkata, penganjuran kursus itu sememangnya sangat bermanfaat kepada golongan usahawan yang belum mendapat pensijilan Halal.
“Penganjuran kursus ini sudah tentu memberi peluang kepada kami untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai permohonan untuk mendapatkan sijil halal,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling