
KRIAN: Kerajaan Sarawak terus komited memperkasakan infrastruktur luar bandar melalui pelaksanaan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi memastikan keselesaan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian sentiasa terjaga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, pemantauan rapi terhadap setiap projek yang diluluskan adalah amat penting bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut spesifikasi dan garis masa yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.
Semalam, Pusat Khidmat DUN Krian bersama agensi pelaksana telah mengadakan siri lawatan tapak dan sesi libat urus di empat lokasi strategik.

Langkah ini bertujuan untuk menyelaras pelaksanaan projek dan mendengar maklum balas daripada penduduk setempat mengenai pembangunan tersebut.
Antara lokasi utama yang dilawati termasuklah projek menaik taraf Dataran Kejat di Rumah Panjang Nyalang, Lubok Empit, Awik yang melibatkan peruntukan sebanyak RM100,000. Kemudahan ini dijangka bakal memberikan ruang aktiviti kemasyarakatan yang lebih kondusif kepada penduduk setempat.
Selain itu, tinjauan turut dilakukan bagi projek merata tapak rumah panjang di Rumah Linggi, Sungai Tapang Asal, Awik dengan peruntukan RM150,000. Usaha ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam membantu penduduk menyediakan tapak kediaman yang lebih selamat dan teratur.

Bagi menangani isu saliran, sebanyak RM300,000 telah diperuntukkan untuk dua lokasi berbeza, iaitu pembinaan parit baharu serta baik pulih di Rumah Dumang, Sungai Kara, Kaki Wong dan kerja-kerja menaik taraf parit di Rumah Panjang Katom, Lubok Renit, Awik.
Sesi libat urus tersebut dihadiri oleh Reeza yang mewakili Pusat Khidmat DUN Krian, wakil Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) Bahagian Betong, serta wakil Pejabat Residen Bahagian Betong bagi memastikan koordinasi antara agensi berjalan lancar.
Pembangunan berterusan di bawah inisiatif RTP ini membuktikan keprihatinan Friday dalam membawa perubahan fizikal yang nyata di Krian, sekali gus merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar di Sarawak.
Oleh Adi Safarman