

BEKENU: Suasana penuh harmoni dan muhibah jelas terpancar apabila para ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) berhimpun dalam satu majlis berbuka puasa bersama yang diadakan di Kampung Pejuang Kelulit malam tadi.
Majlis tersebut telah diadakan di Masjid Jihadullah Kampung Pejuang Kelulit, masjid berusia 41 tahun itu siap pembinaan pada 1985 dan dirasmikan oleh Ketua Menteri ketika itu ialah Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Datuk Rosey Yunus ketika ditemui media berkata, majlis tersebut bukan sahaja menjadi platform untuk menikmati hidangan berbuka puasa, malah turut menjadi medan mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin masyarakat dan penduduk setempat.
“Pelbagai hidangan masakan kampung (tradisional) dan moden disediakan untuk para tetamu yang hadir, sekali gus memeriahkan lagi suasana berbuka puasa secara bersama.
“Para hadirin turut berpeluang beramah mesra serta bertukar pandangan mengenai isu-isu berkaitan pembangunan dan kesejahteraan komuniti setempat,” katanya.
Selepas berbuka puasa, Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu dan merupakan anak jati Kampung Pejuang, Kelulit turut solat Maghrib, Isyak dan Tarawih bersama penduduk kampung.
Tambahnya, penganjuran majlis ini ialah jawatankuasa Masjid Jihadullah bersama Pusat Khidmat Wakil Rakyat N.71 Bekenu.
“Majlis seumpama ini dilihat mampu memperkukuhkan lagi perpaduan serta semangat kebersamaan dalam kalangan pemimpin masyarakat, sekali gus memupuk keharmonian dan persefahaman antara kaum di kawasan ini,” jelasnya lagi.
Hadir sama ialah Pemanca Dr Ali Mudin dan ketua-ketua kaum Daerah Subis.
Oleh Adum Liu