
MUKAH: Seorang lelaki tempatan berjaya ditangkap oleh jemaah selepas disyaki mencuri wang tunai milik dua individu yang sedang berada di Masjid Setia Raja Mukah untuk menunaikan ibadah qiamullail awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata kejadian itu berlaku sekitar 2.00 pagi apabila salah seorang mangsa yang terjaga daripada tidur mendapati wang tunai RM68 yang disimpan dalam beg sandangnya telah hilang dipercayai dicuri individu tidak dikenali.
Beliau berkata, mangsa kemudian ternampak seorang lelaki dipercayai suspek menuju ke arah rakannya yang sedang tidur berhampiran ruang solat wanita dan cuba membuka beg sandang milik rakannya itu.
“Mangsa segera mengejutkan seorang lagi rakan sebelum mereka bertindak menahan suspek yang cuba melarikan diri dengan bersembunyi di sebalik tiang masjid selepas menyedari perbuatannya disedari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan wang tunai berjumlah RM168 di dalam poket seluarnya yang dipercayai dicuri daripada kedua-dua mangsa.
Katanya, suspek yang merupakan lelaki tempatan berumur 41 tahun kemudian diserahkan kepada sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah sebelum ditahan semula bagi tindakan lanjut.
“Turut diserahkan kepada pihak polis ialah wang tunai RM168 yang dipercayai hasil curi untuk dijadikan barang kes,” katanya.
Muhamad Rizal berkata, suspek bersama barang kes dibawa ke IPD Mukah untuk siasatan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan suspek yang mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah telah direman selama tiga hari sehingga 13 Mac ini bagi membantu siasatan.
Oleh Tarani Lanting