
MIRI: Kesalahan penggunaan nombor pendaftaran ‘fancy’ antara 40 saman yang dikeluarkan dalam Op Samseng Jalanan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi yang dijalankan bermula 4.00 petang hingga 2.00 pagi itu tertumpu di beberapa lokasi sekitar bandar ini termasuk Jalan Piasau, Jalan Miri Bypass, Jalan Marina dan Jalan Tanjong Lobang.
Menurutnya, operasi tersebut dilaksanakan susulan aduan orang awam berhubung aktiviti motosikal yang mengganggu kelancaran lalu lintas serta ketenteraman awam.
“Hasil pemeriksaan terhadap 22 individu terdiri daripada 20 lelaki dan dua perempuan bersama 15 motosikal mendapati pelbagai kesalahan dilakukan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook Polis Daerah Miri hari ini.
Menurut Mohd Farhan antara kesalahan yang dikesan termasuk menunggang tanpa lesen memandu, pengubahsuaian struktur motosikal, ubah suai ekzos sehingga menghasilkan bunyi bising, tiada cermin sisi, tiada nombor pendaftaran serta penggunaan nombor pendaftaran ‘fancy’.
Beliau berkata, sebanyak 10 motosikal telah disita di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut.
“Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti samseng jalanan yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.
Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak melakukan pengubahsuaian kenderaan yang menyalahi spesifikasi asal.
Oleh Liong Chai Ling