
KUALA LUMPUR: Kumpulan indie popular Sakura Band tampil memeriahkan Aidilfitri tahun ini dengan lagu baharu berjudul Raya di Kampung yang diinspirasikan daripada pengalaman peribadi vokalisnya, Melley Matius atau Mell, menyambut hari raya selepas memeluk Islam.
Mell berkata lagu berkenaan menampilkan konsep indie dengan sentuhan nostalgia yang menggambarkan suasana pulang ke kampung halaman menjelang Aidilfitri.
Melodi dan lirik lagu itu dihasilkannya bersama suaminya, pemain dram kumpulan 6ixth Sense, Mohammad Safwan Hasnan atau Wan dengan muzik yang diinspirasikan daripada lagu popular kumpulannya, Polaroid.
“Raya di Kampung ini lebih kepada perasaan dan pengalaman balik kampung. Selain itu, ia juga menggambarkan kegembiraan apabila dapat pulang beraya bersama keluarga.
“Lagu ini turut memberi makna tersendiri buat saya kerana ketika kecil saya tidak mempunyai banyak pengalaman menyambut hari raya. Selepas memeluk Islam, barulah saya berpeluang merasai keseronokan menyambut Aidilfitri dan perasaan itu yang saya cuba sampaikan dalam lagu ini,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Iftar Bersama Mell Sakura di sini, baru-baru ini.
Katanya, video muzik lagu tersebut dijangka menemui peminat sebelum sambutan Aidilfitri.
Dalam pada itu, band yang popular menerusi lagu Melepaskanmu itu kini sedang menyiapkan album baharu yang dijangka dilancarkan pada April depan.
Mell berkata album berkonsep indie itu bakal memuatkan tujuh lagu dengan lima daripadanya ciptaan sepenuhnya ahli Sakura Band sendiri, manakala dua lagu hasil komposer luar iaitu Zimie dan Adi Priyo Sambodo (Adi 6ixth Sense).
Beliau berkata semua lagu untuk album itu sudah siap dirakam sejurus selepas ibu kepada seorang cahaya mata itu menamatkan saingan dalam pertandingan program realiti Gegar Vaganza (GV).
“Sebenarnya, sehari selepas final GV, saya terus masuk studio dan merakam lagu baharu kerana kami mahu mengejar masa untuk menyiapkan album ini. Alhamdulillah, semuanya sudah selesai dan kini berada di fasa akhir,” katanya.
Pemenang tempat kelima Gegar Vaganza Musim 12 (GV12) itu merancang untuk mengembangkan kerjaya solonya pada tahun hadapan.
“Sudah semestinya saya ada perancangan untuk projek solo, tetapi bukan pada tahun ini. Buat masa ini, fokus utama saya adalah kepada Sakura Band kerana album baharu kami akan dilancarkan tidak lama lagi,” katanya.- Bernama