
BINTULU: Seramai 120 golongan asnaf menerima sumbangan menerusi Program Ziarah Ramadan anjuran Tong Seng Huat dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Bintulu yang berlangsung di Masjid Darussalam, Kampung Baru di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata program tersebut merupakan antara usaha berterusan bagi membantu meringankan beban golongan yang memerlukan sepanjang Ramadan.
Menurut beliau, inisiatif tersebut mencerminkan keprihatinan pelbagai pihak termasuk sektor swasta dalam menyantuni masyarakat setempat khususnya golongan asnaf.
“Program seperti ini amat bermakna kerana ia bukan sahaja membantu meringankan beban golongan asnaf, malah menunjukkan keprihatinan semua pihak terhadap kebajikan masyarakat, khususnya sepanjang Ramadan,” katanya pada program tersebut.

Iskandar turut merakamkan penghargaan kepada pihak Tong Seng Huat atas komitmen mereka menyalurkan bantuan kepada masyarakat melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Menurutnya, usaha sedemikian bukan sahaja membantu golongan memerlukan malah turut mengeratkan hubungan antara pihak swasta dengan komuniti setempat.
Beliau berharap, program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang termasuk melibatkan bantuan kepada masjid dan surau bagi menyokong pelaksanaan aktiviti sepanjang Ramadan.
Oleh Carolyne Utih