
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa dakwaan wujudnya ‘blok Borneo’ seperti yang dibangkitkan beberapa pemimpin politik baru-baru ini, adalah tidak berasas.
Beliau berkata tidak wujud istilah atau entiti sedemikian kerana Sabah dan Sarawak kekal sebagai sebahagian dari Malaysia.
“Kita ini dalam satu negara, perlu ada kerjasama semua pihak iaitu negeri dan Persekutuan untuk mencemerlangkan lagi negara kita Malaysia.
“Kalau pandangan saya, tidak ada blok Borneo ini. Siapa yang wujudkan blok Borneo? tidak ada,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan progam Inisiatif Bantuan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA) di Dewan Rafflesia, Politeknik Kota Kinabalu, di sini hari ini.
Hajiji berkata naratif itu perlu diperbetulkan kerana pendekatan yang memisahkan negeri-negeri melalui label tertentu boleh mengelirukan rakyat.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pemimpin politik mendakwa Sabah dan Sarawak sudah mempunyai pengaruh politik kukuh dalam Malaysia dan kini cuba mempertingkatkannya lagi melalui cadangan blok Borneo. – Bernama