Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Ahmad Nawab diiktiraf MBOR hasilkan lebih 200 lagu untuk 42 filem
  • HIBURAN

Ahmad Nawab diiktiraf MBOR hasilkan lebih 200 lagu untuk 42 filem

Utusan Sarawak 16 hours ago
ANAK Allahyarham Tan Sri Dr Ahmad Nawab, Nasir Khan (kiri), mewakili bapanya menerima sijil The Malaysia Book of Records bagi kategori “Most Cinematic Music Productions” daripada Pegawai Rasmi The Malaysia Book of Records, Siti Hajar Johor (kanan), di Kuala Lumpur hari ini. Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri Dr Ahmad Nawab merupakan pemuzik popular tanah air yang telah menghasilkan pelbagai lagu terkenal sejak era seniman agung negara Tan Sri P. Ramlee. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri Dr Ahmad Nawab menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Penerbitan Muzik Sinematik Terbanyak (Most Cinematic Music Productions) atas pencapaiannya menghasilkan lebih 200 lagu untuk 42 filem tempatan.

Sijil pengiktirafan disampaikan oleh pegawai MBOR Siti Hajar Johor kepada anak keempat komposer terkenal itu, Nasir Khan dalam satu majlis di sini, hari ini.

Pengiktirafan ini adalah yang kedua daripada MBOR kepada Allahyarham selepas menerima pengiktirafan sebagai komposer dengan lagu terbanyak dirakamkan, iaitu lebih 2,000 lagu pada 2013. Allahyarham, yang nama sebenarnya Ahmad Khan Nawab Khan, meninggal dunia pada 2024 akibat sakit tua.

Nasir, 63, berkata pengiktirafan berkenaan amat bermakna buat keluarganya dan langkah penting dalam memastikan sumbangan serta karya Allahyarham terus dikenang, dihargai dan dirujuk oleh generasi akan datang.

“Kalau kita tidak mengambil inisiatif untuk mendokumentasikan dan menyedarkan masyarakat tentang karya arwah, ia mungkin akan lenyap begitu sahaja,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Nasir berkata penglibatan Allahyarham dalam industri perfileman bermula dengan filem Tun Tijah arahan Tan Sri L. Krishnan pada 1960 sebagai pengarah muzik dan berakhir dengan Mawar Putih arahan Datuk Rosnani Jamil pada 2013.

ANAK Allahyarham Tan Sri Dr Ahmad Nawab, Nasir Khan, yang mewakili bapanya menunjukkan buku “Sentuhan Emas Tan Sri Ahmad Nawab” selepas menerima sijil The Malaysia Book of Records bagi kategori “Most Cinematic Music Productions” yang diterima di Kuala Lumpur, hari ini. Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri Dr Ahmad Nawab merupakan pemuzik popular tanah air yang telah menghasilkan pelbagai lagu terkenal sejak era seniman agung negara Tan Sri P. Ramlee. Foto Bernama

“Filem Hapuslah Air Matamu (1976) arahan M. Amin mencatat jumlah lagu ciptaan Allahyarham terbanyak dalam satu filem, iaitu 11 buah, antaranya Hatiku Hatimu, Sabarlah Menanti dan Seiring Sejalan,” katanya.

Sebelum aktif sebagai pengarah muzik filem, Allahyarham terlebih dahulu mencipta lagu Bintang Malam pada 1952 yang kemudian dinyanyikan semula oleh Biduanita Negara pertama, Allahyarham Puan Sri Salmah Ismail, atau lebih dikenali sebagai Saloma dalam filem Do Re Mi (1966).

Bercerita lanjut, Nasir berkata usaha mendapatkan pengiktirafan tersebut memerlukan dokumentasi dan semakan menyeluruh terhadap karya Allahyarham yang berada dalam simpanan keluarga.

“Semua skor muzik, poster dan dokumen asal arwah memang ada dalam simpanan. Dari situ, saya buat kajian dan semak satu per satu sebelum permohonan dihantar kepada MBOR pada Disember tahun lepas,” katanya.

Pada masa sama, Nasir berkata keluarganya turut menerbitkan buku berjudul Sentuhan Emas Tan Sri Dr Ahmad Nawab yang menghimpunkan sebahagian karya Allahyarham bagi tujuan dokumentasi serta rujukan institusi pengajian tinggi dalam bidang muzik.- Bernama

Continue Reading

Previous: Shakira adakan konsert percuma di Mexico untuk 400,000 penonton

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.