
LUBOK ANTU: Sebanyak 12 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas telah dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dilancarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Lubok Antu (IPD) Lubok Antu, malam tadi.
Menurut kenyataan media IPD Lubok Antu, operasi yang bermula 8.00 malam itu dilaksanakan sebagai langkah proaktif bagi menurunkan kadar jenayah indeks khususnya di kawasan hotspot sekitar daerah berkenaan.
Operasi tersebut turut memberi tumpuan kepada usaha membanteras kegiatan jenayah dan dadah selain mengesan individu yang dikehendaki pihak berkuasa.

Dalam masa sama, pelaksanaan operasi itu juga bertujuan meningkatkan kehadiran polis atau ‘omnipresence’ bagi memastikan masyarakat berasa selamat dan dilindungi sepanjang masa.
Operasi bersepadu berkenaan diketuai oleh Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah Lubok Antu, Inspektor Nelson Ensit bersama kekuatan seramai 20 anggota pelbagai pangkat.
Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 110 buah kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa melibatkan 115 individu di beberapa lokasi tumpuan yang dikenal pasti.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat pelbagai kesalahan lalu lintas dilakukan pengguna jalan raya, sekali gus membawa kepada pengeluaran 12 saman oleh pihak polis.
Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk kegagalan mematuhi peraturan jalan raya serta kesalahan teknikal kenderaan yang boleh mengundang risiko kepada pengguna lain.
Pihak polis menegaskan tindakan penguatkuasaan tersebut bukan semata-mata untuk menghukum, sebaliknya sebagai langkah mendidik dan meningkatkan kesedaran pengguna agar sentiasa mematuhi undang-undang.
IPD Lubok Antu memaklumkan operasi pencegahan seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap keselamatan dan ketenteraman awam di daerah ini sentiasa berada pada tahap terbaik.
Oleh Adi Safarman