NAIB juara Serie A Itali musim lepas Inter Milan diikat 1-1 dalam aksi tegang menentang Lazio di Rom di mana kedua-dua pasukan menamatkan permainan dengan hanya 10 pemain semalam.
Lazio bermain 20 minit terakhir tanpa penjaring terbanyak Serie A musim lalu, Ciro Immobile, yang dilayangkan kad merah kerana memukul Arturo Vidal, dengan pemain Inter, Stefano Sensi juga menerima kad merah dengan perlawanan berbaki beberapa minit.
Tetapi jurulatih Inter Milan, Antonio Conte senang hati membawa balik satu mata dari Stadio Olimpico sebelum derby Milan menentang AC Milan.
Gol separuh pertama Lautaro Martinez dibatalkan oleh tandukan cantik Sergej Milinkovic-Savic sepuluh minit selepas babak kedua bermula.
Atalanta berada di puncak Serie A dengan maksimum sembilan mata di samping AC Milan, dua mata di depan Sassuolo dan Inter.
Atalanta menundukkan Cagliari 5-2 dalam perlawanan pertama mereka di Bergamo musim ini, menjadikan jumlah mereka kepada 13 gol dalam tiga perlawanan perlawanan pertama musim ini.
AC Milan menumpaskan pasukan yang baru dinaikkan ke Serie A, Spezia 3-0 untuk melebarkan rentak tanpa kalah mereka kepada 15 perlawanan. – AFP