KABUL: Sekurang-kurangnya 15 orang awam terbunuh dalam serangan berani mati di Afghanistan semalam, insiden terbesar pertama selepas rundingan di antara Taliban dan perunding kerajaan dimulakan sejak tiga minggu lalu.
Dalam serangan di luar sebuah bangunan kerajaan di timur bandar Nangarhar, sebuah kenderaan dipenuhi bahan letupan diletupkan di pintu masuk bangunan berkenan.
“Beberapa penyerang bersenjata cuba memasuki kawasan itu selepas serangan berkenaan tetapi ditembak oleh pasukan keselamatan.
“Mangsa yang terkorban termasuk pelajar sekolah, manakala masjid berdekatan turut musnah akibat kejadian itu,” kata jurucakap Gabenor Nangarhar, Attaulah Khogyani ketika dihubungi Arab News.
Video yang didakwa berkaitan dengan serangan itu turut tersebar di media sosial.
Ia memaparkan visual beberapa bilik dan bahagian utama bangunan itu musnah akibat letupan kuat yang turut mengakibatkan kerosakan teruk kepada beberapa kenderaan di sekitarnya.
Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran, Obaidullah Shinwari, berkata angka kematian dijangka meningkat.
Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Tariq Aryan, berkata sekurang-kurangnya 40 orang cedera dalam serangan berkenaan.
Walaupun masih belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu, Aryan berkata, kemungkinan ia adalah perbuatan Taliban dan menyifatkan insiden itu sebagai satu jenayah besar kepada penduduk di negara itu.
Sementara itu, penganalisis, Shafiq Hapal pula berkata, serangan itu berkemungkinan bagi menggagalkan proses rundingan damai Qatar di antara Taliban dan Afghanistan.
“Ini boleh menjejaskan dan membawa kesan yang buruk dalam proses rundingan Qatar sekiranya Taliban terbukti terbabit dalam serangan berkenaan,” katanya.
Wakil khas Amerika Syarikat, Zalmay Khalilzad terbang ke Qatar, Khamis lalu bagi memulakan semula proses perbincangan membabitkan perunding kedua belah pihak, sekali gus menandakan potensi untuk mencapai kejayaan bersejarah dalam kemelut perang selama 19 tahun di Afghanistan. – AFP