KUALA LUMPUR: Maybank melancarkan Maybank EzyQ, sistem pengurusan janji temu dalam talian untuk pelanggan, menjadikannya bank pertama di negara ini memperkenalkan kemudahan sedemikian untuk rangkaian perkhidmatan perbankan yang lengkap.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Perkhidmatan Kewangan Komuniti, Datuk John Chong (gambar) berkata, berikutan penularan pandemik Covid-19 ketika ini, Maybank perlu mengubah cara cawangan beroperasi dan telah berusaha mencari penyelesaian yang mengutamakan keselamatan pelanggan.
“Justeru, menerusi pengenalan Maybank EzyQ, kami berharap ia akan memberikan pengalaman dan kemudahan yang lebih baik untuk pelanggan kami,” katanya di dalam satu kenyataan, semalam.
Menerusi Maybank EzyQ, pelanggan boleh membuat janji temu dalam talian sebelum mereka ke cawangan atau ‘Premier Wealth Centers’ (PWC) di seluruh negara dengan mudah dan lancar melalui laman web Maybank2u.
Pelanggan boleh memilih tarikh dan waktu untuk ke cawangan atau PWC yang ingin dikunjungi, serta perkhidmatan yang diperlukan seperti pembukaan akaun, pertanyaan kad debit, dan khidmat nasihat untuk sesuatu produk.
Selain itu, pelanggan juga boleh membuat janji temu melalui Maybank EzyQ seawal satu hari bekerja dan sehingga 10 hari bekerja lebih awal dari tarikh yang dijadualkan.
Pada fasa pertama pelaksanaan, pelanggan boleh menggunakan Maybank EzyQ untuk membuat janji temu di hampir 90 cawangan Maybank dan PWC di seluruh negara.
Maybank merancang untuk melancarkan Maybank EzyQ ke seluruh rangkaian cawangannya menjelang awal tahun depan.
“Walaupun pelanggan masih boleh ke cawangan/PWC tanpa janji temu, pihak bank menggalakkan mereka menggunakan Maybank EzyQ untuk membuat janji temu lebih awal bagi mengurangkan masa menunggu dan mengutamakan keselamatan diri,” kata bank itu.
Sementara itu, pelanggan yang memerlukan bantuan pembayaran balik setelah berakhir moratorium pinjaman/pembiayaan juga boleh menggunakan Maybank EzyQ untuk menjadualkan janji temu dengan penasihat kewangan bank.
Sebagai jangkaan permohonan tambahan, cawangan bank itu di seluruh negara (kecuali yang ada di Zon Merah dan ditutup sementara) akan tetap dibuka selewat 7.00 malam hingga 9 Oktober 2020.
Janji temu juga boleh dibuat untuk perkhidmatan pembukaan akaun, pemohonan dan penggantian kad debit, nasihat pinjaman dan pelaburan, perkhidmatan “Premier Wealth” dan perkhidmatan perbankan yang lain.- Bernama