
JAKARTA, Indonesia: Seorang hakim Indonesia hari ini menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap anak seorang taikun minyak yang dikehendaki Interpol berhubung skim rasuah yang dianggarkan mengakibatkan kerugian kerajaan sebanyak AS$17 bilion.
Muhammad Kerry Adrianto Riza merupakan defendan berprofil tertinggi yang disabitkan kesalahan dalam skandal besar membabitkan syarikat tenaga milik kerajaan, Pertamina.
Kerry didapati bersalah memanipulasi perjanjian pajakan serta bersekongkol dengan beberapa eksekutif Pertamina, menurut kenyataan Pejabat Peguam Negara.
“Muhammad Kerry Adrianto Riza telah terbukti secara sah dan meyakinkan melakukan rasuah secara bersama,” kata Hakim Fajar Kusuma Aji di mahkamah hari ini.

Selepas hampir 12 jam prosiding, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap Kerry serta mengarahkannya membayar denda kira-kira AS$59,500, selain pampasan berjumlah sekitar AS$173 juta.
Bapa Kerry, ‘godfather petrol’ Mohammad Riza Chalid, turut dikehendaki berhubung penglibatannya dalam siasatan rasuah sama, namun telah melarikan diri dari Indonesia.
Interpol mengeluarkan notis merah terhadapnya pada Januari.

Skandal Pertamina itu melibatkan perolehan bahan api import berkualiti rendah pada harga lebih tinggi, selain pelbagai amalan rasuah lain, menurut Pejabat Peguam Negara.
Dalam prosiding sama, Riva Siahaan, bekas ketua eksekutif sebuah anak syarikat Pertamina, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun.
Indonesia sejak sekian lama bergelut dengan gejala rasuah dan telah menahan puluhan pegawai awam dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 2023, seorang bekas menteri komunikasi dipenjara 15 tahun selepas didapati bersalah dalam satu kes rasuah yang menurut penyiasat menyebabkan negara kerugian lebih AS$530 juta. – AFP