

SARATOK: Polis berjaya menumpaskan kegiatan mencuri buah kelapa sawit dengan penahanan dua lelaki tempatan dalam dua operasi berasingan di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie memaklumkan, tangkapan dilakukan susulan laporan diterima berhubung kejadian kecurian di sebuah ladang sawit di Sungai Saung, Kabong.
Beliau berkata, laporan polis dibuat oleh seorang kontraktor pembinaan berusia 30 tahun pada 21 Februari lalu selepas dimaklumkan pekerjanya mengenai kejadian tersebut.
Menurut beliau, pekerja pengadu telah mengambil gambar sebuah kenderaan jenis Ford Ranger yang dipercayai digunakan untuk mengangkut buah sawit yang dicuri dari kebun milik bapa mertua pengadu.
“Hasil siasatan dan maklumat diperoleh, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok yang diketuai Inspektir Hendry Muji berjaya menahan suspek pertama, lelaki berusia 36 tahun, di tepi Jalan Dato Edward Jerah pada 22 Februari lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
DSP Mathew berkata, suspek kedua berusia 28 tahun pula ditahan di sebuah rumah di Kabong pada 25 Februari.
Ujian saringan air kencing mendapati suspek kedua positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, manakala suspek pertama negatif.
Polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Ford Ranger yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.
Siasatan mendapati suspek kedua mengaku telah menombak dan mengambil buah sawit milik pengadu sebanyak empat kali bersama seorang rakan yang masih bebas sebelum dijual di sebuah pusat pengumpulan sawit berhampiran Jambatan Sessang.
Suspek pertama pula mengaku berperanan sebagai penghantar buah sawit yang dicuri ke pusat pengumpulan berkenaan dengan bayaran RM150 bagi setiap penghantaran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri, dan polis memaklumkan kes telah selesai dengan kedua-dua suspek dikenal pasti serta tindakan lanjut sedang diambil.
Oleh Adi Safarman