
KUALA LUMPUR: Jenazah anak sulung pelakon Amyza Aznan, Andre Mikhail Khairil Idzhar, 23, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang, Selangor, pada 10.40 pagi tadi.
Allahyarham yang dilaporkan meninggal dunia pada 10.15 semalam disemadikan dalam suasana hiba namun tenang, dengan kehadiran kira-kira 300 ahli keluarga serta kenalan terdekat yang hadir memberikan penghormatan terakhir.
Turut hadir memberi sokongan moral kepada Amyza ialah rakan artis antaranya Didie Alias, Ieda Moin, Umie Aida, Fauziah Nawi, Fizz Fairuz, Lisdawati, Norman Hakim, Memey Suhaiza, Zed Zaidi dan Ellie Suriaty.
Allahyarham yang juga anak sulung daripada tiga beradik menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kanser paru-paru tahap tiga yang dihidapinya sejak setahun lalu.
Menerusi beberapa hantaran di Instagram (IG), Amyza sebelum ini tidak putus-putus mengharapkan doa serta sokongan orang ramai demi kesembuhan anaknya.
Pada Februari tahun lalu, beliau berkongsi khabar duka apabila Andre disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga.
Setahun kemudian, Amyza sekali lagi diuji apabila anak keduanya, Adrian Adam, 18, disahkan menghidap kanser tulang.