

SELANGAU: Seorang lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan di Jalan Mukah-Selangau, Selangau, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah kira-kira 12 tengah hari pada 23 Februari lalu.
“Serbuan dijalankan ketika suspek berada dalam sebuah kenderaan di hadapan sebuah rumah kosong tidak bernombor di Jalan Mukah-Selangau.
“Hasil pemeriksaan menemukan satu keratan tiub straw lut sinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu dengan anggaran berat kasar 0.15 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dadah berkenaan telah dirampas untuk dijadikan barang kes dan suspek bersama rampasan dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, suspek yang bekerja sebagai buruh direman tiga hari sehingga 27 Februari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.
Oleh Tarani Lanting