
KUCHING: Hari kelima Ramadan menyaksikan Bazar Ramadan Pasar Dayak, Kem Penrissen terus menjadi tumpuan pengunjung yang tidak putus-putus hadir sejak awal petang tadi, bagi mendapatkan juadah berbuka puasa.
Walaupun lokasi bazar terletak dalam kawasan kem tentera, orang awam tetap dibenarkan masuk bagi mengunjungi bazar tersebut, sekali gus menjadikannya unik dan berbeza berbanding bazar Ramadan di lokasi lain.
Tinjauan Utusan Sarawak mendapati para peniaga menawarkan aneka pilihan makanan dan minuman, merangkumi hidangan tradisional tempatan sehinggalah menu moden yang digemari ramai.
Antara yang menjadi tarikan ialah lauk-pauk kampung, kuih-muih tradisional, ayam percik, nasi kerabu, murtabak serta pelbagai jenis air balang yang menyegarkan, sekali gus memenuhi cita rasa pelbagai lapisan masyarakat.


Menariknya, terdapat variasi makanan yang lebih meluas memandangkan sebahagian peniaga berasal dari Semenanjung Malaysia, sekali gus memperkenalkan menu popular dari luar Sarawak kepada masyarakat setempat.
Suasana bazar semakin rancak menjelang waktu berbuka puasa apabila pengunjung mengambil peluang membeli juadah sambil beramah mesra dan mengeratkan silaturahim dalam suasana penuh kemeriahan Ramadan.
Oleh Shikin Mahmud