
BINTANGOR: Lebih kurang 40 minit selepas insiden kemalangan maut yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal pagi tadi, satu lagi kemalangan jalan raya dilaporkan berlaku tidak jauh dari lokasi kejadian, dianggarkan antara 500 meter hingga satu kilometer dari lokasi insiden pertama di Jalan Kelupu, Sungai Gemuan.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata kemalangan kedua tersebut berlaku pada 6.40 pagi dan membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah Mitsubishi Triton, sebuah Toyota Hilux dan sebuah Perodua Myvi.
“Akibat kemalangan tersebut, ketiga-tiga kenderaan mengalami kerosakan pada bahagian hadapan dan sisi kanan.
“Walau bagaimanapun, semua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Kaedah 10 LN 166/59.
Dalam pada itu, katanya, dua kemalangan berturut di kawasan jalan tersebut pagi tadi mungkin disebabkan faktor pemanduan laju dan jalan licin akibat hujan.
“Pihak polis menasihati orang ramai supaya berhati hati ketika memandu semasa musim hujan sekarang dan ambil langkah berjaga-jaga serta memeriksa kenderaan yang digunakan dalam keadaan yang terbaik,” katanya.
Oleh Earl Anek