
BAU: Seorang lelaki berusia 78 tahun ditemui tidak sedarkan diri di bahagian belakang rumahnya di Jalan Buan Buso, di sini, malam tadi dalam kejadian yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 11.03 malam, manakala insiden berkenaan dipercayai berlaku lebih awal sekitar 7.10 malam.
Beliau berkata, seorang wanita berusia 43 tahun memaklumkan bahawa bapanya tidak pulang ke rumah sebelum dia bersama ibunya dan anak saudaranya pergi mencarinya di kebun keluarga di belakang kediaman mereka.
“Setibanya di kawasan kebun, pengadu menemui bapanya berhampiran sebatang pokok nangka dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya.
Menurutnya, ahli keluarga cuba memberikan bantuan kecemasan sebelum menghubungi Hospital Bau bagi mendapatkan bantuan perubatan.
Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Bau bersama petugas perubatan kemudian tiba di lokasi kejadian.
Mohd Haide berkata, pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa dan tiada unsur jenayah dikesan di tempat kejadian.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian,” katanya, sambil menambah bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Bau.
Beliau berkata, pihak polis telah melawat lokasi kejadian, merakam percakapan pengadu serta saksi-saksi dan mengeluarkan dokumen berkaitan kepada pihak forensik untuk tindakan lanjut.
Oleh Connie Chieng