
MUKAH: Polis menahan seorang lelaki warga tempatan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti perjudian atas talian di bandar ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, suspek berumur 27 tahun itu ditahan sekitar 4.30 petang, dalam serbuan di kaki lima sebuah premis perniagaan di bandar ini.
“Pemeriksaan terhadap telefon bimbit suspek telah menemui satu aplikasi yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti perjudian atas talian,” ujarnya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, telefon bimbit suspek serta wang tunai berjumlah RM35 dirampas sebagai barang kes.

“Suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut. Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Jika sabit kesalahan, suspek boleh didenda antara RM5,000 hingga RM50,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun,” katanya.
Oleh Akun Giman