
SIMANGANG: Penganjuran program komuniti berkonsepkan gaya hidup sihat terus mendapat sambutan apabila Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Datuk Hilir Simanggang tampil menganjurkan Larian Malam Ramadan 3KM bersempena Malam 7 Likur yang bakal berlangsung pada 18 Mac nanti.
Pengerusi KRT Kampung Datuk Hilir, Abang Ajibi Abang Morshidi berkata program tersebut dianjurkan bagi mengimarahkan bulan Ramadan melalui pendekatan yang lebih segar dan inklusif, khususnya dalam kalangan golongan belia serta penduduk setempat.
Menurut beliau, Larian Malam Ramadan 3KM 2026 yang dianjurkan oleh Jiran Muda KRT Kampung Datuk Hilir itu bukan sahaja memupuk budaya hidup sihat, malah menjadi platform mengeratkan silaturahim dalam komuniti tanpa mengira latar belakang.
Acara yang dijadualkan berlangsung pada 9.00 malam di pekarangan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Datu, Sri Aman itu terbuka kepada semua yang berminat dengan yuran penyertaan sebanyak RM50. Setiap peserta akan menerima medal dan T-shirt rasmi sebagai tanda penyertaan.
Abang Ajibi menambah, pemilihan tarikh 28 Ramadan 1447H bersempena Malam 7 Likur diharap dapat menyemarakkan lagi semangat kebersamaan masyarakat dalam menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan dengan aktiviti yang bermanfaat.
Beliau turut memaklumkan tarikh tutup penyertaan adalah pada 8 Mac (Ahad) dan orang ramai digalakkan mendaftar lebih awal bagi memudahkan urusan logistik penganjur.
Pembayaran yuran boleh dibuat melalui akaun Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga Kampung Datuk Hilir, Sri Aman di akaun Hong Leong Bank bernombor 253-50-07503-4 sebelum resit pembayaran diserahkan kepada pihak urusetia sebagai pengesahan penyertaan.
Pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian melalui pautan Google Form iaitu (https://forms.gle/1rBAM74w4pEH6mrn8) yang telah disediakan oleh pihak penganjur bagi memudahkan proses penyertaan dan rekod data peserta.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada urusetia program iaitu Abang Syamsul (012-8714872), Dayang Fittiria (012-8402615), Abang Syahairol (019-8347940) atau Abang Shahfian (013-8143535) menerusi nombor telefon yang tertera dalam hebahan rasmi program.
Mengulas lanjut, Abang Ajibi berharap program seumpama ini dapat dijadikan acara tahunan komuniti sekali gus menyemarakkan semangat Ramadan melalui konsep berlari, beramal dan memperkukuh ukhuwah sesama penduduk di Simanggang.
Oleh Adi Safarman