
SIBU: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merekodkan kira-kira 8,000 ketibaan pelancong dalam tempoh singkat pada hari pertama Tahun Baharu Cina.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, kehadiran pelancong ke Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif dengan kadar penginapan hotel bertaraf empat dan lima bintang dilaporkan mencapai tempahan penuh.
Menurutnya, kira-kira 6,500 ketibaan direkodkan di Terminal 1 KLIA 1 dalam tempoh dua jam, manakala Terminal 2 mencatatkan sekitar 1,500 ketibaan.
“Pada hari pertama, saya pergi ke Terminal 1 dan merekodkan kira-kira 6,500 ketibaan dalam masa dua jam. Terminal 2 pula sekitar 1,500.
“Jumlah keseluruhan bagi dua hari pertama masih belum dimuktamadkan kerana kita masih menunggu data rasmi,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka beliau di Pulau Li Hua, hari ini.

Mengulas mengenai perkembangan sektor pelancongan tahun ini, Tiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong berkata, kerjasama strategik akan diperkukuhkan bersama pihak berkaitan termasuk agensi pelancongan negeri.
“Selepas sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya, kita akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak Sarawak bagi mempergiatkan promosi pelancongan.
“Tourism Malaysia juga telah dimaklumkan supaya memperkukuhkan usaha promosi melibatkan semua negeri di seluruh negara,” ujarnya.
Beliau optimis sektor pelancongan akan terus berkembang menerusi kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dan negeri dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama.

Dalam pada itu, majlis rumah terbuka telah berlangsung dengan meriah apabila kira-kira 20,000 pengunjung telah hadir.
Orang ramai telah memenuhi perkarangan majlis seawal 7.00 pagi.
Turut hadir ialah Naib Presiden Kanan Parti Demokratik Progresif (PDP) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh, Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Lanang Alice, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, ADUN Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek serta yang lain.
Oleh Akun Giman