

ASAJAYA: Operasi mencari seorang nelayan, Mohd Faizal Abdilah, yang dipercayai dibaham buaya di Sungai Buloh, Sadong Jaya, hari ini masih belum membuahkan hasil.
Komander Operasi Balai Bomba Asajaya, Abang Othman Abang Sharbini, berkata usaha kini tertumpu di kawasan terakhir mangsa dilaporkan disambar buaya.
Dalam pemeriksaan awal, pihak bomba menemui kelibat dua ekor buaya dianggarkan sepanjang lapan kaki yang timbul di sekitar kawasan itu.
“Melihat keadaan ini, sebarang operasi penyelaman tidak dapat dijalankan untuk keselamatan anggota,” jelasnya ketika dihubungi RTM petang tadi.
Abang Othman turut memberitahu operasi mencari mangsa telah diperluaskan ke kawasan seluas dua kilometer persegi.
Menurut laporan, insiden berlaku sekitar 12.00 tengah hari ketika mangsa sedang menjala ikan di tebing sungai. Kejadian itu disaksikan oleh rakan mangsa yang segera membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Operasi pencarian ditangguhkan petang ini dan dijangka disambung semula pada awal pagi esok.