
SARATOK: Tindakan seorang lelaki tempatan yang cuba menyembunyikan dadah di dalam bekas gula-gula membawa padah apabila dia ditahan oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok di Jalan Simpang Paip, semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie mengesahkan bahawa tangkapan dilakukan sekitar 6.00 petang semasa anggota MPV STK 102 sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.
Pihak polis mengesan seorang lelaki berusia 41 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha SS2 dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menahannya untuk pemeriksaan lanjut.
Hasil pemeriksaan rapi ke atas beg silang yang dipakai suspek membawa kepada penemuan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

Selain itu, polis turut menjumpai bekas gula-gula berwarna hijau yang di dalamnya mengandungi 10 paket plastik kecil berisi bahan terlarang yang sama.
Siasatan awal mendapati suspek mengaku secara lisan bahawa kesemua dadah dengan anggaran berat keseluruhan 8.8 gram tersebut adalah miliknya untuk diedarkan kepada pembeli di sekitar kawasan Saratok.
Polis turut menyita beg silang dan barangan berkaitan sebagai bahan bukti kes.
Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kejayaan tangkapan ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan IPD Saratok dalam memerangi aktiviti pengedaran dadah di peringkat akar umbi.
Oleh Adi Safarman