
SIBU: Bazar Tahun Baharu Cina yang terletak di Jalan Lembangan, di sini berpotensi menjadi salah produk pelancongan di bandar ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata, penganjuran bazar tersebut merupakan satu inisiatif yang sangat baik dan wajar diteruskan serta diperluaskan pada masa akan datang.
Menurutnya, program anjuran bersama Majlis Perbandaran Sibu (MPS) itu bukan sahaja berjaya menghidupkan suasana perayaan, malah berpotensi dijadikan acara tahunan berskala lebih besar.
“Saya berpendapat ini satu idea yang sangat baik, saya berharap pihak majlis (MPS) dapat meneruskan inisiatif ini dan mungkin dalam skala yang lebih besar termasuk penambahan pencahayaan dan penyertaan lebih banyak gerai, ” katanya ketika ditemui di tapak Bazar Tahun Baharu Cina di Jalan Lembangan, di sini hari ini.
Chieng memberitahu, konsep bazar sempena Tahun Baharu Cina sudah lama menjadi amalan di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, China, Taiwan dan Singapura, khususnya di kawasan yang mempunyai populasi ramai masyarakat Cina.
Katanya, penganjuran seperti itu mampu memberi peluang kepada anak-anak perantau yang pulang ke kampung halaman untuk merasai suasana perayaan yang lebih meriah dan penuh kehangatan.
“Melalui bazar ini, mereka boleh membeli-belah dan mendapatkan bahan makanan untuk malam Tahun Baharu Cina, apabila seluruh keluarga akan memasak dan makan bersama,” ujarnya.
Katanya, sekiranya dirancang lebih awal, program tersebut boleh dijadikan acara tetap dua hari sebelum Tahun Baharu Cina setiap tahun agar orang ramai, termasuk penduduk dari kawasan berhampiran dapat merancang kehadiran mereka ke bazar tersebut.
“Kita boleh jadikannya sebagai satu acara pelancongan penting di Sibu. Tahun hadapan, semua orang sudah tahu dan bersedia untuk datang menikmati suasana perayaan ini,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan bahawa usaha berterusan perlu dilakukan bagi memastikan suasana perayaan di bandar ini terus diperkasakan serta memberi impak positif kepada ekonomi setempat dan peniaga kecil.
Turut hadir, Pengerusi MPS, Clarence Ting Ing Hort, Pengerusi Jawatankuasa Pasar dan Penjaja Runcit MPS, Kaunselor Jenny Ting Hua Hung dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan Awam, Persekitaran dan Perkhidmatan Perbandaran MPS, Kaunselor Yiing Sy Huat.
Oleh Akun Giman