Tiada unsur jenayah dikesan dalam kebakaran stor simpanan di Jalan Roban Lama

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA polis sedang berada di lokasi kejadian bagi membantu mengawal keadaan dan memastikan keselamatan awam terjamin sepanjang operasi pemadaman dijalankan. Foto IPD Saratok

SARATOK: Siasatan awal polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah atau khianat dalam kejadian kebakaran melibatkan stor simpanan di No. 1, Jalan Roban Lama, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam sekitar 2.00 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Polis Saratok bergegas ke lokasi.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian kira-kira lima minit kemudian, polis mendapati kebakaran melibatkan sebuah stor jenis zink yang dijadikan tempat penyimpanan kayu serta barangan di belakang rumah separuh kekal berkeluasan kira-kira 15 x 50 kaki persegi.

“Stor berkenaan didapati terbakar sepenuhnya di bahagian dalam dan keseluruhan struktur mengalami kerosakan teruk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mathew berkata, kebakaran berjaya dipadamkan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok dalam tempoh kira-kira 30 minit.

Seramai empat anggota polis dari Balai Polis Saratok turut berada di lokasi bagi membantu mengawal keadaan dan memastikan keselamatan awam terjamin sepanjang operasi pemadaman dijalankan.

ANGGOTA polis sedang berada di lokasi kejadian bagi membantu mengawal keadaan dan memastikan keselamatan awam terjamin sepanjang operasi pemadaman dijalankan. Foto IPD Saratok

Dalam kejadian itu, enam penghuni rumah yang terdiri daripada empat dewasa dan dua kanak-kanak dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pemilik stor telah diarahkan untuk membuat laporan polis bagi melengkapkan dokumentasi kes.

DSP Mathew berkata, setakat ini tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan.

“Punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.

Tambah beliau, hasil siasatan awal pihak polis mendapati tiada elemen jenayah atau perbuatan khianat dikenal pasti dalam insiden berkenaan.

Sehubungan itu, kes berkenaan telah dirujuk sepenuhnya kepada pihak BBP Saratok untuk tindakan dan siasatan lanjut berhubung punca kebakaran.

Oleh Adi Safarman

Enjin Pajero terbakar di Jalan Nanas

KUCHING: Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Pajero mengalami kebakaran di bahagian enjin dalam kejadian di hadapan Sekolah Jenis