
SARATOK: Stor penyimpanan alat kerja di rumah persendirian di Jalan Roban Lama musnah hampir 80 peratus dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku tengah hari tadi.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu memaklumkan bahawa Bilik Gerakan APM Saratok menerima panggilan kecemasan daripada seorang orang awam dikenali sebagai Hajijah pada 1.38 tengah hari.
Bertindak atas maklumat tersebut, seramai enam orang anggota APM digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh lapan kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Saratok.
Setibanya di lokasi pada 1.50 tengah hari, pihak APM mendapati kebakaran tersebut sedang ditangani dan berjaya dipadamkan sepenuhnya hasil kerjasama pantas pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), anggota APM, serta bantuan penduduk setempat.

Hasil pemeriksaan di tapak kejadian mendapati mangsa mengalami kerugian apabila sebahagian besar barangan di dalam stor berkenaan gagal diselamatkan.
Walau bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan melibatkan mangsa mahupun petugas penyelamat sepanjang operasi dijalankan.
Operasi bersepadu tersebut turut melibatkan kekuatan 12 anggota bomba, lapan anggota RELA, dan seorang anggota polis.
Pasukan penyelamat memastikan keadaan di lokasi benar-benar selamat dan terkawal sebelum menamatkan operasi sepenuhnya pada 2:34 petang.
Punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian rasmi masih lagi dalam proses siasatan pihak berkuasa.
Oleh Adi Safarman